MEMARTABAT DAN MEMPERKASAKAN PROGRAM PENDIDIKAN DAN LATIHAN TEKNIKAL DAN VOKASIONAL (TVET) NASIONAL
MENTERI SUMBER MANUSIA
KENYATAAN MEDIA
MEMARTABAT DAN MEMPERKASAKAN PROGRAM PENDIDIKAN DAN
LATIHAN TEKNIKAL DAN VOKASIONAL (TVET) NASIONAL
1. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Disember 2022 telah membuat keputusan untuk memindahkan fungsi Sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET) kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM). Selaras dengan itu, KSM bersedia menggalas peranan tersebut melalui gerak kerja komprehensif dengan sokongan ekosistem TVET inklusif di KSM meliputi agensi kawal selia TVET, penyedia latihan, dan pembiaya dana latihan sedia ada serta kerjasama kukuh semua pemegang taruh TVET di pihak Kerajaan dan juga swasta.
2. Seiring dengan hasrat Kerajaan untuk menjadikan TVET sebagai pemacu kemajuan negara, agenda memartabat dan memperkasa TVET nasional menjadi fokus utama KSM dalam usaha menjadikan ia sebagai pilihan utama rakyat Malaysia. Transformasi dan penjenamaan TVET secara holistik akan dilakukan menerusi suntikan sinergi-sinergi baru yang berperanan memadamkan stigma negatif terhadap TVET, dan seterusnya membawa paradigma baru TVET yang berpotensi menawarkan peluang kerjaya dan pendapatan tinggi pada masa hadapan.
3. Bersandarkan kepada kepelbagaian program TVET dan kemudahan akses yang ditawarkan ketika ini, TVET menjadi wadah terbaik untuk rakyat Malaysia meningkatkan pengetahuan dan kemahiran secara berterusan sejajar dengan aspirasi pembelajaran sepanjang hayat. TVET berperanan sebagai solusi serampang dua mata Kerajaan dalam melahirkan modal insan tempatan berkemahiran dan seterusnya menjadi pelengkap persiapan negara untuk berhadapan dengan transisi populasi menua (ageing population).
4. Selaku Sekretariat MTVET, KSM amat mengharapkan komitmen dan percambahan idea yang konstruktif secara berterusan daripada semua pemegang taruh yang terlibat dalam memastikan strategi dan inisiatif agenda memartabat dan mempersadakan TVET nasional secara holistik dapat dibangunkan, dan seterusnya penyelesaian berkaitan isu dan cabaran pelaksanaan TVET dapat dirungkaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan